Thursday, 4 September 2014

ESSAY 1 : Nazrul Hamzah Md Nor Azman

RINGKASAN TENTANG DIRI

Naz merupakan anak kedua daripada dua beradik. Ayah dan ibunya merupakan pesara. Kakaknya tua setahun. Lahir di ibu kota, Naz juga sama seperti individu lain yang lahir di era informasi; teknologi dan dunia hiperrealiti – menghirup udara di atmosfera globalisasi. Naz menganggap dirinya merupakan seorang yang mempunyai kehidupan yang mendatar. Tidak banyak perkara yang istimewa berlaku dalam hidupnya, cuma hidup normal yang sederhana.

 Naz merupakan seorang yang pendiam dan tidak banyak cakap sejak kecil. Di sekolah, dia merupakan seorang yang agak formal dan  kemas. Setiap hari memakai tali leher di sekolah. Setiap pagi masa yang paling lama diambil adalah masa untuk bersiap. Rambut paling lama. Baju mesti digosok tanpa sebarang kemut. Seluar pula wajib ada bekas lipatan tengah; lipatan seluar formal. Beg pula selalunya besar dan berat. Jarang sekali terlupa bawa buku sekolah. Keterampilan dirinya sudah lengkap namun hakikatnya selalu peroleh kedudukan 20 lebih dalam peperiksaan di kelas. Seni hanya subjek tambahan, kerana Naz merupakan pelajar Sains.

 Kehidupan pertama kali di menara gading sangat memberi impak besar terhadap dirinya dan banyak mengubah dirinya ke arah yang lebih matang. Dia mula belajar dari pelbagai kesilapan dan hidup berdikari. Perkara yang paling dianggap normal pada ketika itu adalah membuat maggi dan assignment. Namun bukan untuk diri sendiri. Membancuh teh dan menggosok baju juga menjadi satu rutin. Namun juga bukan untuk diri sendiri. Tapi untuk abang-abang senior. Tapi baginya alah biasa tegal biasa. Dia tidak fikir ianya sesuatu yang serius. Apa yang lagi serius ialah penceburannya dalam bidang seni yang telah mengajarnya erti keindahan dan estetika dalam suatu kewujudan. Apresiasi terhadap sekeliling semakin meningkat bukan sahaja terhadap perkara yang cantik dimata, namun apa-apa yang buruk juga ditanggap cantik sebagai suatu kewujudan dan lumrah kehidupan.

 Minat terhadap seni kontemporari, terutamanya seni yang keluar daripada tanggapan traditional; iaitu pencarian suatu idea baru, visual dan konsep dalam pada masa yang sama mempersoal tentang kesahihannya menjadi ‘seni’. Sangat ghairah untuk mengetahui tentang seni, kepelbagaian definisinya, fungsi terhadap masyarakat dan bagaimana seni membentuk dunia kepada suatu tempat yang lebih baik dan dianggap merupakan bidang yang sangat penting di dunia.
 
Kini Naz berumur 23 tahun dan baru sahaja tamat belajar. Baru sahaja tamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam bidang Senilukis dan Senireka jurusan arca, di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam dan berjaya mencapai deanlist setiap semester. Tapi tak kemana, Naz terpinga-pinga tanpa kerja. Sekarang dia duduk rumah tolong mamanya cuci pinggan. Kadang-kadang dia duduk main internet dan tengok televisyen sepanjang hari. Kadang-kadang perasaan kesal sering menanggap dirinya sebab pilih jalan seni. Baginya seni itu susah. Baginya semua orang boleh melukis tapi tidak ramai yang kritikal terhadap definisi seni. Kalau ada pun suaranya sayup. Seni juga tidak menjamin masa depan yang cerah berbanding kerjaya-kerjaya yang lain. Ianya bergantung kepada usaha yang tinggi kerana kebanyakan seniman yang telah berjaya kebanyakkannya bernama dan untuk menampal nama dalam bidang seni bukanlah seperti mengopek kulit kacang. Lagi-lagi untuk seorang yang pendiam.

1 comment:

  1. Dr. Dwi Marianto : Anda sudah faham akan diri, potensi (potential), keadaan sendiri, sudah faham juga akan kekuatan dan kelemahan diri sendri. The next project for you is how to transform your potential, anthusiasme, and energy into something creatively.

    ReplyDelete