Thursday, 4 September 2014

ESSAY 1 : Shaarim Sahat

Latar Belakang

Saya datang dari keluarga yang sederhana dan bermastautin di Kuala Lumpur. Bapa saya seorang kakitangan kerajaan dan ibu pula seorang surirumah sepenuh masa.  Saya mula melukis sebelum di bangku sekolah lagi. Seingatan saya ketika mula tahu memegang pensil lagi, saya sudah mula melukis. Pengaruh abang begitu besar ketika itu. Malangnya keluarga kami bukanlah keluarga yang menggalakkan minat anak-anak ke arah seni.

Selepas STPM (1987) saya ingin memohon Kursus Seni Halus yang ditawarkan di UITM tetapi mendapat bantahan dari keluarga. Seperti remaja-remaja lain, jiwa pemberontak begitu kuat dalam diri saya. Oleh kerana keluarga tidak membenarkan saya mengikuti kursus yang diminati, saya mengambil keputusan tidak meneruskan hasrat untuk terus belajar. Setahun saya menganggur dan ia mendatangkan kemarahan bapa saya.

Pada 1989 saya berkerja di WARUNG mamak bawah pokok di depan sebuah kilang di Taman Midah, Cheras. Pekerjaan ini saya perolehi secara kebetulan ketika saya berehat minum di kedai tersebut selepas penat mencari kerja di kilang-kilang sekitar. Malangnya tindakan saya ini juga mendatangkan kemarahan bapa ketika itu. Akhirnya selepas hampir setahun bekerja di situ saya berhenti dan bekerja di sebuah kilang di Jalan Tandang, Petaling Jaya sebagai pemandu kren. Dari pemandu kren, saya ditukarkan ke bahagian makmal dan bekerja sebagai pembantu makmal. Selepas hampir 3 tahun di situ, saya bertukar kerja ke Subang Jaya pula dan bekerja sebagai Pengawal Kualiti di kilang tersebut, sehingga saya dinaikkan pangkat sebagai Penyelia.

Apabila tuan punya syarikat ingin mengembangkan perniagaannya – dengan membentuk sebuah syarikat Partition/Sesekat Besi yang boleh diubah suai, saya juga turut berpindah ke syarikat baru itu. Bermula sebagai Penyelia Kawalan Mutu dan membantu syarikat mendapatkan lesen kualiti ISO. Selepas itu saya dipindahkan ke bahagian Teknikal dengan menjawat jawatan Draftman/Pelukis Pelan. Setelah setahun di bahagian ini saya dinaikkan pangkat sebagai Ketua Bahagian Teknikal. Antara projek besar yang saya dipertanggungjawabkan ketika itu adalah projek pejabat Petronas di KLCC, pejabat kerajaan Putrajaya Parcel C, D dan seterusnya. Beberapa projek lain di luar negara antaranya Hospital kanak-kanak Dubai dan beberapa projek di negara-negara lain.

Selepas hampir 6 tahun di syarikat tersebut, saya ditawarkan pekerjaan  di salah sebuah syarikat bumiputera dengan jawatan sebagai Pengurus Projek. Setelah setahun bekerja di syarikat ini, negara dilanda masalah ekonomi dan syarikat ini juga terkena tempiasnya. Setelah berfikir panjang, saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja selepas beberapa bulan tidak menerima gaji.

Pada tahun1999, bermulalah era baru saya sebagai seorang peniaga dan usahawan. Walaupun saya memulakan perniagaan ubahsuai rumah/pejabat ketika ekonomi meleset dan ketika itu mempunyai 2 orang anak yang masih kecil namun saya berjaya melalui musim sukar tersebut. Saya kembali melukis ketika itu bagi menghilangkan tekanan perasaan dan ekonomi.

Selepas beberapa tahun syarikat saya ditubuhkan, kami sekeluarga mula merasai sedikit keselesaan. Saya mula mengambil kerja-kerja/projek-projek yang lebih besar dari kerajaan, kebanyakkannya adalah kerja-kerja hiasan dalaman/ interior work. Saya semakin banyak masa untuk melukis dan semua lukisan-lukisan itu saya berikan kepada kenalan-kenalan yang berminat secara percuma.

Pada 2005, saya mula merasakan yang saya perlu kembali fokus untuk mencapai cita-cita semasa kecil untuk menjadi seorang pelukis yang terkenal. Pada tahun 2006 saya membuka sebuah kedai lukisan kecil yang diberi nama SA’nd Gallery di Galaxy Ampang. Dibantu secara sambilan oleh rakan-rakan saya. Kedai ini juga menyediakan perkhidmatan kelas lukisan untuk remaja dan kanak-kanak. Pelajar kami bukan sahaja terdiri dari rakyat Malaysia sahaja, terdapat juga pelajar dari Korea dan Jepun.

Pada tahun 2008 saya berkenalan dengan seorang pelukis senior yang terkenal iaitu saudara Rafie Rahman dan beliau menawarkan saya untuk bersama-sama beliau menjadi orang pertama berkarya di Peti Seni, Balai Seni Visual Negara. Saya menerimanya dan pada tahun yang sama saya menutup kedai lukisan saya untuk fokus berkarya di Peti Seni. Tidak lama kemudian seorang lagi pelukis menyertai kami, beliau adalah saudara Amiruddin Ariffin. Dalam masa yang sama, saya juga ditawarkan oleh seorang kenalan menjadi editor untuk sebuah majalah bolasepak bulanan. Dari situ saya menjadi pelopor untuk beberapa buah majalah lain termasuk komik juga untuk syarikat tersebut.

Saya banyak belajar teknik-teknik melukis secara tradisional dengan kedua-dua pelukis ini (walaupun tidak secara formal – kebanyakan masa adalah dengan pemerhatian sahaja), malah rakan-rakan mereka yang melawat kami terdiri dari pelukis tersohor juga memberikan satu pengalaman yang berharga kepada saya. Dari pengalaman-pengalaman ini saya lihat kebanyakan pelukis-pelukis veteran masih terus bergelut dalam mengharungi kehidupan kerana mereka kekurangan pengetahuan dalam bidang perniagaan terutamanya dalam mempromosikan diri dan bakat mereka.

Dengan itu saya mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perniagaan di salah sebuah kolej di bawah naungan UUM secara sambilan, walaupun ketika itu usia saya telah lebih 40 tahun. (Alhamdulillah keputusan CGPA saya sangat baik iaitu 3.75) Saya merasakan pelukis-pelukis perlu didedahkan mengenai asas perniagaan supaya mereka lebih mudah memahami bagaimana cara yang lebih baik untuk ‘menjual’ bakat dan karya-karya mereka.

Pada tahun 2009 (kalau tidak salah), saya berkenalan pula dengan seorang pelukis muda yang berjaya iaitu Raduan Man. Beliau seorang artist yang menghasilkan karya dengan menggunakan teknik ‘wood print making’ atau ‘membuat cetakan kayu’. (Perlu dinyatakan di sini bahawa saya telah pun menghasilkan karya-karya cetakan sebelum mengenali beliau lagi) Beliau menjadi ‘penasihat’ saya dalam menghasilkan karya-karya ketika itu. Saya selalunya membawa karya-karya saya untuk dikritik oleh beliau pada tengah malam hinggalah subuh hari kerana itulah masa beliau berkerja. Melalui Raduan Man pula saya mengenali pelukis-pelukis yang sedang mengukir nama ketika itu antaranya Najib Ahmad Bamadhaj, Arikwibowo Amril dan beberapa pelukis yang telahpun dikenali dalam arus seni ini antaranya Yusri Sulaiman dan Fauzul Yusri.

Dengan mengenali ‘pelukis-pelukis era lama dan baru’, ia sedikit sebanyak mempengaruhi teknik-teknik yang saya hasilkan di dalam karya-karya kebelakangan ini. Semua teknik yang saya ketahui dipersembahkan ketika menghasilkan karya. Sebutlah apa sahaja - dari teknik ‘stansil, transfer image, print making’ dan sudah tentu melukis secara tradisional; semuanya ada dalam setiap karya yang saya hasilkan.
Setelah beberapa tahun menjadi pelukis sepenuh masa, akhirnya tahun 2013 adalah tahun yang mungkin akan menjadi tahun bertuah kepada saya. In sya Allah… Beberapa galeri mula menawarkan peluang untuk saya mengenengahkan bakat yang ada ini. Hasrat saya semoga perit jerih yang dilalui tidak sia-sia. Keluarga telah banyak mengorbankan masa yang saya ‘pinjam’ dari mereka, semoga saya dapat ‘membayarnya’ kembali.

Diharap segalanya akan berjalan lancar dan seperti manusia lain yang berwawasan, saya juga mempunyai misi sendiri. Misi yang pertamanya adalah untuk menyedarkan pengkarya betapa pentingnya mengetahui asas perniagaan bagi perkembangan kerier mereka. Pengkarya adalah seorang peniaga, maka mereka perlu mengetahui strategi dan pemasaran dengan betul. Kata-kata bahawa ‘pelukis hanya perlu melukis sahaja’ adalah sudah tidak relevan lagi, apatah lagi saingan sudah semakin sengit di luar sana.   Page 2/3
Misi kedua saya adalah untuk memupuk minat kanak-kanak dalam bidang seni. Ini sudah saya mulakan beberapa tahun lalu hingga kini dengan menjalankan kelas-kelas lukisan. Kita bukan mengharapkan semua kanak-kanak ini bakal menjadi seorang pelukis bila besar nanti.

Cuma harapan saya minat yang telah dipupuk sedari kecil akan menjadikan mereka bakal seorang ‘collector’ walaupun mereka sudah bergelar sebagai seorang doktor, jurutera, akauntan atau dalam bidang professional yang lain. Setidak-tidaknya mereka akan membeli karya yang mempunyai nilai artistik dan bukan hanya membeli potret diri ataupun karikatur wajah sendiri sahaja. Saya impikan sebuah sekolah lukisan saya sendiri.

Misi ketiga adalah menjadi salah seorang yang terlibat dalam pengurusan dan perkembangan dunia seni visual itu sendiri, selain dari hanya menjadi pengkarya. Saya ingin sekali mengetahui selok belok bagaimana untuk menjadi seorang kurator. Walaupun mengenali saudara Faizal Sidik (kurator BSVN) secara peribadi, namun saya belum pernah berpeluang untuk menimba ilmu dari beliau kerana kesibukan kami berdua. Mungkin menjadi kurator adalah langkah permulaan sebelum saya meneruskan cita-cita untuk menjadi ‘collector’ yang aktif seterusnya mempunyai galeri saya sendiri.

Misi terakhir saya adalah untuk menyatukan semua pengkarya yang mempunyai ‘ism’ yang berlainan, era yang berbeza serta mempunyai jurang yang besar dalam pendidikan seni. Dari penglihatan orang awam, dunia seni visual di negara ini kelihatan tenang tanpa konflik. Namun sebagai pengkarya yang berada ‘di tengah-tengah’ jurang yang ada ini, saya sendiri merasakan bahang apabila mereka mula mengkritik pengkarya yang bukan dari ‘golongan yang sama’ dengan mereka. ‘Perang dingin’ yang berlarutan ini mungkin kelihatan tiada titik penghujung dan penyelesaian. Selain dari galeri awam yang mengadakan pameran terbuka, agak sukar untuk melihat suatu pameran yang mempunyai kesemua ‘ism’ di dalamnya. Jika adapun galeri swasta yang mengadakan pameran sebegini, ia boleh dibilang dengan jari. Galeri swasta perlu memainkan peranan besar dalam menangani masalah ini.

Salah satu punca semua ini adalah datang dari ego pelukis itu sendiri yang merasakan ‘ism’nya adalah lebih baik dari ‘ism’ yang lain. Malah kenyataan demi kenyataan yang sering dikeluarkan mungkin mengguris hati pengkarya yang berkarya dengan ‘ism’ yang berlainan. Pengkarya ‘self-taught’ sering berbangga-bangga dengan kebolehan mereka. Yang mendapatkan pendidikan formal pula sering mempertikaikan harga yang diletakkan oleh pengkarya ‘self-taught’ ini. Yang veteran amat sukar untuk bersama-sama dalam sebuah pameran dengan pengkarya yang jauh lebih muda. Begitu juga yang ‘junior’, memilih-memilih untuk bersama pengkarya veteran apabila diberi peluang untuk bersama dalam suatu pameran. Mungkin mereka mempunyai strateginya sendiri atau ego masing-masing menguasai keputusan mereka.

Apapun misi dan niat murni saya hanya akan dapat dipenuhi apabila saya berjaya dalam bidang seni ini nanti. Kejayaan itu kelak akan menjadi bukti bahawa strategi dan pengetahuan dalam perniagaan penting apabila kita mahu menceburi bidang ini. Bidang seni sudah menjadi industri, walaupun tidak semua pengkarya menerima istilah ini namun ia akan tetap kita tempuhi. Siapa ‘lambat’ dia akan tertinggal. Buangkan ego jika kita mahu maju dan bersatu.

Teknik Styrofoam Cut Print

Apabila menyentuh mengenai ‘print making’, saya menggunakan bahan perantara yang berbeza dari pelukis-pelukis lain. Saya menggunakan ‘styrofoam’bagi menggantikan kayu, lino atau plat besi. Bahan ini saya gunakan kerana ia mudah disimpan serta ringan, cuma yang menjadi cabaran kepada saya adalah ketika proses mengukir kerana ia mudah patah. Ia juga tidak seperti kayu/besi kerana ia akan semakin menipis apabila proses cetakan dilakukan berulang-ulang. Namun ia bukan suatu masalah kepada saya kerana saya selalunya menghasilkan ‘mono print’ iaitu cetakan satu (1) karya sahaja untuk sebuah acuan.  
Memperkatakan mengenai proses menghasilkan karya pula, selalunya saya akan melakarkan setiap karya yang akan saya hasilkan terlebih dahulu. Kemudian dari lakaran tersebut akan saya lukiskan pada kertas mengikut saiz yang dikehendaki (‘Main subjek’). Warna dimasukkan sebelum lukisan tersebut dipindah ke atas kanvas yang sudah mempunyai latarbelakang. Tidak seperti proses cetakan yang lain, hanya masukkan warna hitam sahaja.  Kemudian beberapa ‘sub subjek’ akan saya masukan samada melalui teknik stansil, transfer image, print making dan lukisan biasa.

Alat untuk mengukir juga adalah berlainan. Selain menggunakan Styrofoam cutter, saya juga menggunakan solder wire untuk mengukir di atas Styrofoam.

Contoh karya-karya yang saya gunakan teknik ini adalah Beggar–Hope2, Jutawan Metropolitan, Nostalgia, Anakku dan Angkasawan dan text-text yang saya hasilkan dalam setiap karya.



Anakku dan Angkasawan (dalam pembikinan)


No comments:

Post a Comment