KUASA HARAPAN DAN TANAH
Dirgahayu tanah air ku…
Seni itu sudah lama merdeka. Ia adalah medium penghubung antara manusia sejagat dan juga antara manusia dengan Pencipta dan alam. Ianya medium pembina negara bangsa, malah seni boleh menghancurkan kuasa penjajahan fizikal dan mental. Melalui seni muzik, teater, filem, seni persembahan, seni pertunjukan, fotografi, seni jalanan malahan seni visual, seni merupakan medium komunikasi yang dilihat paling hampir dan rapat sejak dari dulu lagi dalam menyampaikan mesej kepada masyarakat . Sejauh manakah medium ini menjadi tukang seni, dan dalam skop kemerdekaan bagaimana pengkarya menggunakan seni untuk memahami apa itu maksud merdeka dan kemerdekaan? Samada dalam skop yang lebih luas atau memperkatakan tentang kemerdekaan diri sendiri?
Bersempena sambutan kemerdekaan yang ke-55 pada tahun 2012 ini, Pameran ‘Kuasa, Harapan dan Tanah’ dipersembahkan dalam ruang galeri 2B, Balai Seni Visual Negara. Pameran adalah eksposisi dari karya koleksi BSVN dari pelbagai medium penghasilan, pengkarya dan karya dalam ruang, masa dan pengalaman masing-masing.
Pameran ini menggunakan tiga kata utama penegasan iaitu ‘kuasa’, ‘harapan’ dan ‘tanah’ dalam menghuraikan proses dan nilai kemerdekaan untuk dihargai dan dikenang. Rasa dihargai dan dikenang ini adalah untuk menerapkan rasa cintakan negara atau kata yang lebih utuh adalah rasa ‘patriotisme’.
Pameran ‘Kuasa, Harapan dan Tanah’ adalah dedikasi buat para patriot seni yang menggunakan seni sebagai senjata dan kreativiti dalam menyampaikan mesej tertentu. Malah tiada darah atau kematian yang mengiringi perjuangan tetapi rakaman visual melalui kepelbagaian medium seni yang akan bertahan 100 tahun lagi. Koleksi ini adalah tanda pensejarahan pengkarya–pengkarya terdahulu dan kini yang mempunyai suara dan berekspresi seni dalam berhubung dengan masyarakat sekeliling. Ianya tanda sokongan dan keyakinan kepada kuasa kebebasan suara rakyat, sistem demokrasi dan rasa cintakan tanah air.
Membawa erti ‘kuasa’ dalam pemilihan karya adalah terdiri dari karya-karya yang melibatkan isu yang lebih dominan di dalam menyampaikan mesej. Lebih bersifat penegasan terhadap satu titik kesimpulan dalam karya yang diketengahkan. Ianya boleh dilihat dan ditafsirkan dari segi isu dan idea yang dibawa ataupun imej-imej yang digunakan.
Amir Zainorin/ T.A.R/ 2007/ Akrilik, kolaj dan gel atas kanvas/ 110 x 150 sm
Yoh Poh Sin/ Chin Peng/ 1950/ Cetakan gelatin perak/ 47 x 72 sm
Karya ‘T.A.R’ oleh Amir Zainorin merakamkan ikon merdeka Tunku Abdul Rahman dalam inspirasi yang berunsurkan pop seni yang mana ikonik disusun berulang dengan warna dan komposisi berbeza-beza. Teknik tampalan (kolaj) dan sapuan warna digunakan dalam menggunakan elemen pengulangan yang membentuk satu komposisi yang lebih harmoni. Selain dari itu juga, rakaman foto ketua Parti Komunis Malaya (PKM) iaitu Chin Peng oleh Yoh Poh Seng adalah antara karya seni medium fotografi yang merakamkan kuasa besar haluan kiri sewaktu negara melalui proses kemerdekaan.
Kedua-dua karya yang menggunakan imej individu ini mengingatkan semula tentang Rundingan Baling 1955 di antara Tunku Abdul Rahman dan Chin Peng. Rundingan ini telah gagal untuk mencapai kesefahaman dalam mengisytiharkan kemerdekaan Malaysia pada 31hb Ogos 1957 yang kita sambut tanpa persefahaman Parti Komunis Malaya sehinggalah Perjanjian Haadyai dibuat di antara kerajaan Malaysia, Thailand dan Parti Komunis sejajar dengan kejatuhan komunis di Rusia dan runtuhnya tembok Berlin di Jerman Timur pada 1989.
Selain daripada itu juga, karya ‘Вечная слава героям‘ (‘Kemuliaan Pada Pahlawan-Pahlawan Selama-lamanya’) oleh V. Fedyavskaya adalah di antara karya yang dipertontonkan dalam pameran kali ini. Karya ini merupakan hadiah daripada Kedutaan Rusia kepada BSVN sekitar tahun 1970an bersempena satu pameran yang telah diadakan di BSVN. Pengkarya merakam imej figura yang melambangkan rakyat Rusia sewaktu Perang Dunia II ketika penentangan kuasa Soviet Union terhadap kuasa Nazi Jerman. Imej tiga lelaki yang mengangkat senjata dikiri dan dikanan, imej ibu dan anak memegang bunga dan lambaian sapu tangan yang melambangkan bagaimana kesatuan seluruh rakyat dalam berjuang untuk mencapai kemerdekaan negara. Perkataan bahasa Rusia yang membawa maksud ‘aman’ menjadi subjek utama pengkarya dalam menghasilkan karya ini. Melalui karya ini juga dapat dilihat bagaimana V. Fedyavskaya merakam tahun bermulanya Perang Dunia Kedua dan pengakhiran tanda pembebasan negara dari penjajahan.
V. Fedyavskaya/ Kemuliaan Pada Pahlawan-Pahlawan Selama–lamanya/ Cetakan lino/ 55.5 x 81 sm
Selain daripada melihat bagaimana kuasa dunia mencapai kemerdekaan dan kebebasan yang bersifat nasionalis dan patriotik, satu lagi karya dari Amir Zainorin yang bertajuk ‘The Stamp Series’ merakamkan portret patriot yang tidak didendang terdiri dari mereka yang berlainan haluan politik tetapi dalam satu perjuangan kebebasan dan cintakan tanah air. Wajah Abdul Aziz Ishak iaitu seorang lagi pejuang yang pernah menyertai kabinet negara pada pemerintahan Tunku Abdul Rahman sebagai Menteri Pertanian dan Koperasi, pahlawan Melayu Mat Kilau yang menentang penjajahan Inggeris, srikandi Ketua Wanita UMNO Khadijah Sidek, perajurit Suriani Abdullah dan Shamsiah Fakeh dari Rejimen ke -10, pejuang sastera Pak Sako dan beberapa yang lain lagi.
Amir Zainorin/ The Stamp Series/ 2008/ Cetakan digital/ 56 x 46 sm
Dalam melewati kuasa-kuasa besar yang haluannya adalah berbeza-beza, perkara ini dilihat sebagai satu titik tolak rakyat mencari jalan untuk melepasi diri dari penjajahan dan ke arah kemerdekaan.
Kata ‘kuasa’ juga ditafsirkan di dalam karya Wong Hoy Cheong melalui Siri Migran iaitu salah sebuah karya beliau yang bertajuk, ‘Dia Kahwin Umur 14 Tahun dan Dapat Anak 14 Orang’ (‘She Was Married at 14 and Had 14 Children’). Dalam karya ini imej ibu yang memegang alat penoreh getah dan di kelilingi aksi manusia yang seakan-akan anak kecil dan juga terdapat nota wang lama di atas permukaan karya. Persoalan perempuan menjadi ketua keluarga, bertanggungjawab dan secara tidak langsung berkuasa di dalam mengelola menjadi salah satu rakaman yang ingin disampaikan. Dalam siri karya ini juga, pemerhatian pengkarya terhadap penghijrahan, hubungkait pengalaman dengan isu pembawaan buruh pada zaman British dirakamkan. Melalui potret keluarga dan nostalgia ia telah disatukan dalam penggunaan warna hitam – putih yang lebih bersifat nostalgik.
Wong Hoy Cheong/ Dia Kahwin Umur 14 Tahun dan Dapat 14 Orang Anak/ 1994/ Arang dan fotostat di atas kertas/ 190 x 150 sm
Melalui kata ‘harapan’, ianya dilihat sebagai satu kata yang berkaitan dengan doa dan masa hadapan. Pemilihan karya yang mempunyai unsur harapan dikongsi bersama dan nilai tanggungjawab dan inginkan perubahan menjadi titik tolak kata harapan itu sendiri. Karya-karya seperti ‘Siri 48/48’ oleh Noor Azizan Rahman Paiman dalam siri yang ke 36 ada menyatakan kata-kata Latiff Mohidin:
‘Ruang kemerdekaan ku tidaklah begitu luas Cuma 2’ x 3’ dan ada pula batasnya. Maksudku, bidang kanvas yang berbingkai ini tanggungjawabku hari ini. Mengisinya dengan sebaik-baik akal budi…’
Kata-kata harapan yang berkisar tentang tanggungjawab seorang pengkarya seni yang mana pengkarya menjadikan karya itu sebagai satu simbolik kepada ruang kebebasan dan merdekanya diri di dalam melakar sejarah seni. Seperti mana salah satu puisi berbaur kemerdekaan oleh Latiff Mohidin yang bertajuk ‘Songsang’ berbunyi:
Maafkan aku kalau aku sering saja berlaku songsang
Terutama di perayaan tahun seperti hari ini
Apabila semua orang telah sedia duduk aku bangun berdiri
Apabila orang bangun bertepuk aku duduk
Apabila orang ghairah berbincang aku tidur
Apabila orang melepaskan merpati aku tabur padi
Orang lain telah merdeka aku belum
Maafkan aku kalau aku sering saja berlaku songsang
Aku hanya ingin mengingatkan…
Noor Azizan Rahman Paiman/ Latiff Mohidin/ 2005/ Media campuran atas kertas/ 17 x 13 sm
Tafsiran dan harapan seorang pengkarya seni yang menggunakan pelbagai genre di dalam mengolah dan berhubung dengan masyarakat digunakan dalam menyampaikan mesej. Bahasa kesusasteraan dan lakaran Latiff Mohidin bergerak seiring dalam idea atau konsep yang ingin beliau sampaikan.
Berbalik kepada karya siri oleh Azizan Paiman ini, penyataan pendapat, harapan dan kata sinis menjadi sebahagian imej dan rakaman untuk setiap bahagian karya yang dihasilkan. Gabungan imej dari garisan bebas yang membentuk rupa baru telah dimaknakan dengan kata-kata dari penyataan orang-orang tertentu.
Syed Ahmad Jamal, Datuk/ Demostrasi dalam Salji/ 1959/ Cat minyak/ 101 x 132 sm
Dalam karya ‘Demostrasi dalam Salji’ oleh Datuk Syed Ahmad Jamal pula ianya merupakan satu karya yang dihasilkan sewaktu beliau melanjutkan pengajian di Maktab Perguruan, Lancashire, England pada tahun 1958 . Karya yang merakam keadaan waktu itu di mana adanya tunjuk perasaan oleh masyarakat setempat yang berkisarkan tentang semangat global untuk memerdekakan diri dari kolonialisme oleh pelajar-pelajar maktab perguruan Kirby. Pengkarya melihat kejadian ini dari tingkap bilik; tindakan radikal para pelajar menghumban kerusi dan meja dari tingkap dan membakarnya dalam kedinginan salji. Ironisnya rakaman ini telah dilukis sewaktu setahun Malaya mencapai kemerdekaan pada 1957.
Perihal ‘tanah’ adalah satu perkara yang penting di dalam menjadikan maksud merdeka agar lebih bermakna. Tanah yang merujuk kepada tanah air, tempat di mana harapan dan kuasa itu direalisasikan. Perkataan ‘tanah air’ adalah kata yang sempurna untuk digambarkan dalam menyatakan kecintaan pada negara dan bagaimana alam berhubung dengan manusia dalam lingkungan hidup seharian dan juga alam sekitar.
Zulkifli Mohd. Dahalan/ Realiti Berasingan - Suatu Hari di Bumi Larangan/ 1975/ Enamel atas bod
244 x 366 sm
Karya ‘Realiti Berasingan - Sehari di Bumi Larangan’ diungkapkan dari garis-garis terseksa dan pembentuk buruk rupa manusia terhasil dari lanjutan gambaran figuratif Malaysia. Dengan idiom gambaran yang berani, permandangan yang tersumpah mempunyai makhluk berjiwa dari gambaran manusia tanpa pakaian yang mengawal dan dari sini beliau sangat kritis tentang tanggungjawab masa depan manusia dari kesan alam sekitar dan keadaan sosial masyarakat. Karya ini cuba menggambarkan tentang tindakbalas generasi terhadap masyarakat hasil dari pemerhatian keadaan dan peristiwa. Melalui lakaran-lakaran spontan dan garisan ini, ianya membentuk imej imaginasi tersendiri mengingatkan tentang karya oleh Zulkifli Mohd. Dahlan yang mengandungi penduduk anti-kebendaan .
Karya ‘Solomon Bermain Piano di Chin Woo’ oleh Patrick Ng Kah Onn adalah di antara empat karya pertama yang menjadi koleksi awal di Balai Seni Lukis Negara. Karya yang dihadiahkan oleh Majlis Kesenian Malaya pada bulan Ogos 1958 ini adalah salah satu karya penting dan mempunyai tanda pensejarahan tersendiri yang mana pengkarya cuba merakamkan pada waktu itu. Mengingatkan bagaimana pada zaman 1950an sebuah bangunan yang dikenali sebagai Stadium Chin Woo, yang terletak di Jalan Hang Jebat berhampiran dengan Stadium Merdeka, menjadi satu tempat untuk rakyat berkumpul dan menjalankan aktiviti sukan dan juga acara kesenian di dalam medium yang pelbagai. Asas projek telah dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Alam Shah Hishammuddin pada 31hb Ogos 1950 dan Majlis perasmian telah dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama, Sir Mc Donald, Pesuruhjaya Tinggi British pada 11hb Disember 1953 dengan disaksikan oleh pemimpin tempatan.
Dalam karya ini rakaman suasana ketika itu, Solomon adalah seorang pemain piano tersohor dari British sedang mendendangkan muzik sambil diperhatikan oleh ramai penonton. Ianya adalah rakaman visual oleh pengkarya seni yang cuba merakamkan bagaimana ruang stadium Chin Woo menjadi tumpuan untuk pelbagai perhimpunan yang bersifat seni dan bagaimana sokongan rakyat dalam meraikan seni. Imej orang ramai yang memenuhi ruang menjadi imej dominan dalam karya.
Mengimbas semula sejarah Chin Woo, ia bermula melalui seni mempertahankan diri yang telah bertapak di Malaya dengan pembinaan sebuah stadium awam. Dan di sinilah ianya menjadi suatu tempat bagi aktiviti rakyat dijalankan dari sebelum negara mencapai merdekaan. Kini tempat berkumpulnya rakyat telah beralih ke stadium Merdeka dan Dataran Merdeka yang mana ruang ini menjadi satu tempat kepada masyarakat berkumpul dan menjalankan aktiviti sosial secara bebas dan lebih terbuka seiring dengan pengisytiharan kemerdekaan dan kepercayaan suara demokrasi.
Patrick Ng Kah Onn/ Solomon Bermain Piano di Chin Woo/ 1953/ Pastel/ 54.5 x 73 sm
Bertitik tolak tentang semangat cintakan negara, karya-karya lain seperti ‘Perjanjian Tanah Melayu’, ‘King house Kuala Lumpur’, ‘Polimek 1986’ oleh Romli Mahmud, foto Chin Peng oleh Yong Poh Seng, ‘Ular Makan Katak Puru’ oleh O.C Edwards, ‘Kurasa Kuasa’ oleh Shahrul Anuar Shaari, ‘Eagle,Crow,Sparrow’ (Helang, Gagak, Lelayang’) oleh Li Chong Chuan, ‘Kuasa dan Kuasa’ oleh Nor Samad, ‘Pembaharuan’ oleh Shirley M.Hall, ‘Sir Henry Gurney’ oleh Harold speed,’ How Risky I am??’ dan ‘Susah Mental Block’ oleh Roslisham Ismail, ‘Some Dreamt of Malaya’ (‘Setengah Orang Mimpi Tentang Malaya’) oleh Wong Hoy Cheong, ‘The Raw Generation’ (‘Generasi Mentah’) oleh Ramlan Abdullah, ‘Siri 48’ oleh Noor Azizan Paiman, ‘The Reformasi Series’ oleh Siew Lee Wong, ‘An Eye For An Eye Will Make The Whole World Go Blind’ (‘Hutang Mata Dibayar Mata Akan Membuat Dunia Jadi Buta’) oleh Ahmad Fuad Osman, ‘Demonstrasi dalam Salji’ oleh Datuk Syed Ahmad Jamal, ‘Perempuan dengan Keamanan’ oleh Liijina, ‘Tanggungjawab’ oleh Hamidah Abdul Rahman, ‘Memohon Kepada Tuhan’ oleh Thawan Duchanee, ‘Sebatang Lilin’ oleh Laura Popenoe, ‘Kebudayaan Malaysia’ oleh Yang Sook Leng, ‘Kekecohan’ oleh Dato’ Ibrahim Hussein, ‘Yang Teragung’ oleh Robert Rauschenberg, ‘Raja Yang Balik Menyelamatkan Permaisuri’ oleh Rev Wipulansara, ‘Army Troop, Japanese troop cycling in Malaysia, Kuala Lumpur’, ‘Orang-orang’ oleh Mustapa Ibrahim, ‘Imigran’ oleh Chong Kit Leong, ‘Once Upon Time in a Far Away Land Of Mexico There Were the Rich and the Poor’ (‘Pada Suatu Masa Dulu di Sebuah Negeri Bernama Mexico Ada Orang Kaya dan Orang Miskin’) oleh Zakaria Ali, ‘Pertunjukan Boneka’ oleh Lim Mu Hue dan ‘Lorong Belakang’ oleh Tan Tee Chie turut dipamerkan bersempena pameran kali ini.
Menghadirkan wajah-wajah pejuang haluan kiri, perjuangan aliran lain yang sedang berlaku di di dalam dan di luar negara adalah intipati karya untuk pameran kali ini. Imej dan isu yang berbaur radikal dan sensitif untuk sesetengah pihak cuba disatukan dalam ruang pameran kali ini menandakan bahawa rakaman sejarah adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian yang wajar dalam memahami ruang kehidupan dan menjadi sebahagian rakyat merdeka, dan ia bukanlah mitos yang boleh menyesatkan kefahaman perjuangan. Koleksi pensejarahan melalui karya seni oleh BSVN ini diharap dapat membudayakan semangat cintakan negara dengan memaparkan bagaimana konflik sekitar kehidupan ditangani sewaktu kemerdekaan dan kebebasan itu ingin dicapai.
Kenyataan dan fakta yang mengarah perjuangan diri dan kumpulan masyarakat yang menuju agenda kehidupan yang lebih baik dan bebas dari penjajah atau kongkongan telah dirakamkan oleh pengkarya-pengkarya Malaysia yang cuba bertindak balas atas apa yang mereka fahami melalui pelbagai medium seni melalui ekspresi seni masing-masing. Sepertimana kata Robert Rauchenberg’,
‘Peranan artist adalah menjadi saksi terhadap sejarah masa’
Intan Rafiza
Rujukan bacaan:
1. Seni Lukis Malaysia-25 Tahun, 1983, Syed Ahmad Jamal, United Selangor Press.
2. Dewan Sastera, September 1974, Imej Timur, Keributan Politik Imperialis dan Mitos Penjajah, Ismail Abdullah.
3. Suluh Rakyat, Ogos 1987,Tokoh Nasional Yang Memperjuangkan Tanahair.
4. Dialog Seni Tampak, 1985,Nathan Knobler (Terjemahan oleh Zakaria Ali), Dewan Bahasa Dan Pustaka.
5. Art Fundamentals – Theory and Practice, 1998, Edisi Ke-8, McGraw-Hill Companies.
Rujukan laman web:
1. http://en.wikipedia.org/wiki/Art#Motivated_functions_of_art
2. http://www.chinwoo.com/history.htm
3. http://ms.wikipedia.org/wiki/Tunku_Abdul_Rahman_Putra_Al-Haj
4. http://ms.wikipedia.org/wiki/Chin_Peng
No comments:
Post a Comment